Inspirasi 101: 10 Pensyarah FSSR UiTM Pamer Karya Seni Visual

Hidawati Amin dan karyanya.

SHAH ALAM 22 Okt. - Universiti Teknologi Mara (UiTM) sedang mengadakan pameran hasil kreativiti sepuluh pensyarah Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka (FSSR) bertemakan Inspirasi 101 di Galeri Seni Tuanku Nur Zahirah, UiTM di sini.

Pameran selama sebulan bermula 1 Oktober lalu itu membawa penggiat dan peminat seni mengembara secara visual dan menikmati keindahan 40 karya seni visual yang diterjemahkan daripada emosi, pengalaman, inspirasi dan idea kesemua pensyarah berkenaan.

Dekan fakulti itu, Prof. Dr. Mustafa Halabi Azahari berkata, pameran tersebut merupakan salah satu usaha mereka untuk mengembang dan melestarikan seni visual di negara ini.

"Penganjuran Inspirasi 101 ini adalah penting serta memberi makna besar dalam usaha membudayakan kreativiti dan inovasi dalam bidang kesenian visual.

"Ia juga sebagai komitmen berterusan untuk menarik lebih ramai penggiat dan peminat seni visual agar meneruskan kesinambungan dalam menghasilkan karya-karya agung seperti lukisan terulung Leonardo Da Vinci iaitu Monalisa," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Sementara itu, salah seorang pensyarah yang turut mempamerkan karyanya, Noor Hidawati Mohammed Amin berkata, pengalamannya mengamati dan mengumpul bahan-bahan buangan buatan manusia memberinya idea untuk menzahirkan beberapa karya berbentuk tiga dimensi (3D).

Safril Amir dan karyanya

"Kita sering menganggap bahan buangan sebagai sesuatu yang tidak bernilai sedangkan bahan itu boleh diubah menjadi sesuatu yang bernilai.

"Saya menggabungkan perabot lama, seluar denim lusuh dan baju anak saya menjadi sesuatu yang boleh digunakan. Contohnya, kerusi lengkap dengan tempat duduk berbantal yang 100 peratus dibuat daripada bahan terbuang tersebut," katanya.

Turut mengambil bahagian pada pameran tersebut ialah Siti Hajar Abd. Rahman, Irma Murni Ismail, Rosliza Abdul Rahim, Syafril Amir Muhammad, Khairul Zikri Abdullah, Mohd. Azhar Abd. Manan, Zuriati Mohamed Shaari, Mumtaz Mokhtar dan Noriza Arzain.


Artikel Dari Utusan.com pada 22 Oktober 2012
Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/Kota/20121023/wk_09/10-pensyarah-FSSR-UiTM-pamer-karya-seni-visual#ixzz4rIPmEoza






Comments