Kreativiti setanding lelaki


Kreativiti Setanding Lelaki Oleh Siti Haliza Yusop
shyusop@bh.com.my

Isnin 25hb April 2016

artikel asal
https://www.bharian.com.my/node/147121


PAMERAN Citra Wanita yang kini berlangsung di Galeri Aswara, Akademi Seni dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Kuala Lumpur memberikan penghargaan dan pengiktirafan terhadap kemampuan seniman wanita tanah air yang kurang diambil berat selama ini.


Meskipun hal itu bukan tujuan utama pameran berkenaan, ia tetap memperlihatkan kemampuan 47 seniman dan pelukis melalui 72 karya, sekali gus memberikan sudut pandang baharu seperti yang disifatkan kuratornya, Erry Arhan Azmi sebagai setanding dengan karya seniman lelaki tanah air.

Erry Arham berkata, karya yang dihasilkan seniman wanita menonjol cara tersendiri, malah penghasilannya juga menunjukkan mereka lebih terperinci dan kreatif dalam meluahkan ekspresi di atas kanvas.

"Sebagai kurator, apa yang saya saksikan boleh dianggap penemuan mengejutkan mengenai bakat seniman wanita tanah air kerana selama ini kehadiran mereka tidak begitu disedari sehinggakan bakat mereka tidak diambil berat.


Visual Dwi Pandangan

"Karya yang dihasilkan menunjukkan ketelitian dalam memberi perincian kepada karya sehingga terpapar daya tarikan tersendiri yang menjadikan ia begitu menarik untuk dinikmati.

"Malah ada yang lebih kreatif dengan memaparkan dua visual sekali gus dalam satu karya yang memberikan dua 'pandangan' berbeza apabila karyanya dilihat dari jauh atau lebih dekat," katanya kepada Galeri BH.

Pelukis, Aini AB yang bergerak pada aliran abstrak umpamanya menggunakan penerapan pada elemen grafik yang menyerlahkan mesej yang ingin disampaikan.

Menggabungkan elemen budaya popular, Aini AB memasukkan grafiti dan semburan cat sehingga menyerlahkan ciri kontemporari dalam karya Pensyarah Rekaan Grafik di Malaysian Institute of Art itu, seperti yang sering dimahukannya.

"Saya gabungkan elemen campuran ini sekali gus bagi memberi kontras dan lapisan yang pelbagai kepada karya yang saya hasilkan.

"Meskipun begitu saya tidak mengurangkan perhatian kepada mesej yang dihasilkan malah Noise yang menjadi percubaan pertama saya menggabungkan karya abstrak dengan bentuk manusia dilakukan sebagai penekanan kepada emosi," katanya.


Hitam Putih Kontemporari

Sementara itu, Lyna Khairi pula menyerlah dengan paparan budaya yang sering menjadi identitinya melalui karya Wayang dan Kasih Ibu 2.

Kedua-dua lukisan hitam putih itu menyerlah gaya kontemporari meskipun sarat dengan awan larat dan motif batik yang menjadi gaya pengenalan dalam karyanya sejak sekian lama disebabkan minat dalam dunia fesyen.

"Sebagai pelukis, elemen tradisional sebegini menjadi elemen yang digerakkan dalam karya dan ia menjadi 'ajakan' saya kepada peminat seni tanah air untuk memelihara identiti kebudayaan Melayu ini," katanya.

INFO
Pameran Citra Wanita
Pelukis : 47 pelukis
Lokasi : Galeri Aswara, 464 Jalan Tun Ismail Kuala Lumpur.
Tempoh : Sehingga 30 April ini

Comments