Seni Dari Perspektif Aksiologi Pelukis-Pelukis Wanita


Phamplet Lakar Wanita Tour 2017 yang memuatkan penulisan
Dr Mumtaz Mokhtar

Seni Dari Perspektif Aksiologi Pelukis-Pelukis Wanita
Oleh Dr. Mumtaz Mokhtar

Seni pada dasarnya didefinisikan sebagai penghasilan karya yang indah.  Terdapat beberapa isu yang boleh dihuraikan dari pernyataan tersebut.  Seni melibatkan proses, kepelbagaian bentuk pengkaryaan dan sesuatu yang dinilaikan sebagai indah. Bukanlah semua objek atau kesan visual itu sewenang-wenangnya diangkat sebagai seni dan sesiapa juga layak dipanggil artis atau pelukis.  Hatta sesuatu karya  itu perlu disaring untuk meletakkannya layak digelar sebagai hasil seni.  Dalam pameran kali ini, pedekatan aksiologi adalah yang paling mudah memahamkan perihal nilai seni mereka. Aksiology  adalah perkataan Greek yang merupakan cabang falsafah yang berhubungan dengan kefahaman terhadap nilai. Beberapa penulisan berkenaan axiology (Calvinand Hodges (2009), Mahmoud Khatami (2010) dan Micheal Viega (2016)) menjelaskan bahawa aksiologi adalah pendekatan di mana kita menilai elemen keindahan malah moral atau etika yang terdapat dalam bentuk-bentuk seni.  Mengenal pasti dan meghuraikan nilai kadangkala dikaitkan dengan konteks tertentu termasuk budaya, pendekatan artist, matlamat dan juga fungsi karya itu sendiri.

Pameran ini melibatkan pelukis wanita dari latar belakang pendidikan seni di peringkat sarjana dan doktor falsafah.  Mereka juga merupakan pensyarah yang mengajar beberapa kursus penting senilukis dan senireka dan giat menjalankan aktiviti kesenian tempatan dan antarabangsa.

Siri Rama-Rama 1, Elliza Hashim, 2016
‘Proses’ atau pembuatan seni dalam konteks pameran ini berlaku di mana mereka menterjemah, mengekspressi, mengimaginasi, meluahkan pandangan, berkongsi cerita dan pengalaman masing-masing. Dalam karya Siri Rama-Rama 1, Elliza Hashim menterjemah rama-rama sebagai simbolik sifat manusia iaitu melalui proses perkembangan dari fasa kelahiran hingga pembesaran dan matang.  Kehidupan di dunia juga dianggap sementara dan tempat persinggahan sahaja.  Tentu ada sebab mengapa Tuhan jadikan rama-rama itu begitu indah, pelbagai warna dan corak yang sangat menarik. Tentunya ada sebab juga mengapa Tuhan jadikan  wanita  itu cantik dan indah pada pandangan mata dan perasaan manusia.  Berbeza dengan Elliza, Hidawati menggunakan imej haiwan dengan terjemahan bersandarkan nilai sosial tempatan.  Karya Siakap Senohong baginya adalah merujuk kepada pembayang maksud bagi pantun Melayu yang popular iaitu “Siakap senohong gelama ikan duri, bercakap bohong lama-lama mencuri”.  Manakala ekspressi kehidupan harian sebagai seorang yang berkerjaya, melayan kerenah anak, menghargai alam dan pesekitaran jelas
Siakap Senohong, Hidawati, 2016
dalam karya Zuriati Shaari seperti dalam
Dalam Taman Ada Dia.  Berdasarkan  sifat keibuan dan emosi seorang wanita jelas ditunjukkan bagaimana beliau begitu memahami kehidupan dan emosi makhluk lain iaitu kucing.  Sebagaimana elemen alam semulajadi yang melengkapi ekosistem kehidupan bagi haiwan, begitu juga kucing sebagai haiwan peliharaan dianggap melengkapi kebahagiaan dalam kehidupan keluarganya.  Siti Hajar pula berpendapat bahawa bahan-bahan kitar semula seperti fabrik mampu diolah dan dijadikan bahan yang menarik dan membawa bersama maksud tertentu seperti dalam karya Transit Angan 2.  Kaedah ‘decontextualised’ seperti mengguna semula fabrik lama dan mencantumkannya semula dalam bentuk-bentuk baru adalah pendekatan yang menarik. Beliau mencipta fenomena membawa kisah silam dan menyatukannya menjadi satu sejarah baru dan akan dikenang lagi pada masa akan datang. Karya Norwani iaitu Limar bersongket Penuh 1 juga menyatakan pendapat peribadinya tentang keunikan hasil tekstil kraf tempatan yang mempunyai nilai kerja tangan yang sangat tinggi. Di samping itu, motif dan corak terkstil tersebut membawa makna-makna yang tersirat.  Merujuk kepada motif dan corak tersebut Norwani mengolahnya kembali dengan teliti dan menggunakan bahan campuran di atas kanvas berbantukan teknologi pengkomputeran supaya lebih tepat.  Minat Norwani terhadap motif songket dan kain limar membuka lembaran baru adaptasi seni tekstil dalam karya catan kerana sebelum ini batik menjadi pilihan utama seperti dalam karya Chuah Thean Theng, Fatimah Chik, Nik Zainal Abidin dan Hashim Hassan. Manakala Noriza Arzain pula becerita tentang kisah pengembaran dan pejalananannya melihat negara luar.  Beliau mengumpul, merekod, mencatit dan mendokumen kisah-kisah yang berlaku sepanjang perjalanannya seperti dalam Travel Like Crazy. 
Travel Like Crazy, Noriza Arzain, 2016

Bentuk-bentuk pengkaryaan kesemua pelukis adalah dikategorikan sebagai catan, menggunakan format ‘picture plane’ yang sama iaitu dua dimensi. Namun penggunaan bahan, gaya penyampaian, teknik dan pedekatan adalah berbeza.  Karya campuran mendominasi bahan pelukis pada kali ini kecuali Eliza yang hanya menumpukan bahan akrilik. Bahan tersebut dipersembahkan dalam gaya seni pop. Pada tahun 1982, Redza Piyadasa menghasilkan Two Malay Woman dengan teknik seni pop dan imej fotografi namun Eliza menghasilkan imej wanitanya dengan teknik illustrasi. Teknik kolaj oleh Noriza Arzain bukan sahaja berperanan sebagai bahan tetapi lebih kepada imej, fakta, informasi yang membawa maksud dan makna yang lebih khusus.  Contohnya cebisan surat khabar, majalah atau pembungkusan adalah bahan yang dikumpul dari tempat yang dilawati dan artifak sebenar dalam penceritaan perjalanannya.  Hidawati mempertahankan bahawa kaedah melukis bukanlah semata-mata dengan menggunakan pensil atau berus namun telah mencadangkan penggunaan mesin jahit dan benang sebagai alat dan bahan menghasilkan karya seni. Karya bertajuk Bunga dan Pepatung Biru lebih kepada gambaran landskap dan mempunyai kaitan dengan karya sulaman berlanskap oleh Kalsom Muda dan diikuti oleh Rose Dahlina. Karya Siti Hajar dengan gaya pop hanya melibatkan satu imej dalam setiap canvas. Kenderaan menjadi subjek utama karya Siti Hajar dan disampaikan dengan gaya minimalis pop. Latar belakangnya mendatar namun imej kenderaan dibina dengan garisan ‘outline’ yang mengukuhkan bentuk 3 dimensi. Komposisi perletakan imejnya dipelbagaikan dan keseluruhannya kelihatan seperti flash card yang merakam cerita yang tersendiri.  Ini mengimbau karya Ismail Hashim yang telah dihasilkan pada 1979 yang bertajuk Bicycle.  Bezanya Siti Hajar menggunakan latar belakang pebagai warna dan teknik jahitan manakala Ismail Hashim menggunakan latar sewarna dengan imej photografi. Zuriati Shaari menggunakan pendekatan semi abstrak yang menggabungkan imej-imej organik. Namun begitu pembentukan komposisinya sangat berstruktur dan diatur dengan seimbang dan harmoni. Pada dasarnya struktur tersebut dibahagikan dalam pecahan melintang dan menegak. Selain itu posisi imejnya juga disusun dalam pelbagai lapisan dan kedudukan warna latarnya juga mempunyai atmosfera yang dramatik.  Pendekatan ini mempunyai persamaan dengan karya Ismail Zain bertajuk DOT: The Tribalisation of Tam binte Che Lat (1983). Ismail Zain lebih menonjolkan imej tempatan seperti surat khabar tempatan, figura tempatan dan interior tempatan manakala karya Zuriati Shaari kelihatan lebih umum mungkin kerana faktor urbanisasi dan latar kehidupan masa kini.  Bentuk catan Nowani agak bebeza dengan yang lainnya iaitu lebih bersifat susunan corak dari motif tempatan seperti Bunga Kerongsang, Pucuk Rebung, Teluk Berantai  dan Bunga Sebakul.  Kekuatan penggunaan motif dalam karya Norwani adalah pada konsep makna dan falsafah motif-motif tersebut.

Kesemua karya membawa makna dan mesej tersendiri.  Hal inilah yang membawa nilai dan fungsi terhadap mengapa ianya dihasilkan dan apakah yang audien boleh perolehi dari karya tersebut.  Bagaimana  pelukis bertindakbalas dengan kehidupan dan persekitaranya adalah sangat personal namun sebagai manusia itulah juga moral yang bermakna kepada setiap insan. Alam dan persekitan dijadikan rujukan utama kerana mengakui hakikat hubungan manusia dengan pencipta, manusia dengan alam dan manusia sesama manusia.  Nilai hubungan dengan alam dan kasih sayang sesama makhluk dipaparkan dalam karya Zuriati Shaari diharap dapat mengekalkan keharmonian dalam kehidupan masyarakat hari ini. Hakikat kehidupan yang penuh warna warni dalam karya Elliza perlu menjadi motivasi untuk terus berjaya walaupun kehidupan ini sementara. Begitu juga dengan Noriza Arzain yang begitu optimis menghadapi kehidupan yang semangkin canggih walau di mana pun manusia itu berada. Walaupun Siti Hajar acapkali mengatakan bahawa kehidupan yang lepas telah menjadi kenangan namun masih boleh dijadikan panduan dan diperbaiki dari semasa ke semasa. Konsep transit karyanya menunjukkan bahawa kita tidak perlu berputus asa dan teruskan perjalanan dengan hati yang lebih tabah.  Gaya bahasa karya seni Hidawati membuka beberapa petunjuk bahawa alam perlu dilihat sebagai metafora yang perlu difikirkan oleh setiap manusia. Begitu juga makna-makna dalam simbol motif karya Norwani yang berteraskan seni Islam dan falsafah kesenian Melayu tempatan. 



Comments