Seni Dari Perspektif Aksiologi Pelukis-Pelukis Wanita
Phamplet Lakar Wanita Tour 2017 yang memuatkan penulisan Dr Mumtaz Mokhtar |
Seni Dari Perspektif Aksiologi Pelukis-Pelukis Wanita
Oleh Dr. Mumtaz Mokhtar
Seni pada dasarnya didefinisikan
sebagai penghasilan karya yang indah. Terdapat
beberapa isu yang boleh dihuraikan dari pernyataan tersebut. Seni melibatkan proses, kepelbagaian bentuk
pengkaryaan dan sesuatu yang dinilaikan sebagai indah. Bukanlah semua objek
atau kesan visual itu sewenang-wenangnya diangkat sebagai seni dan sesiapa juga
layak dipanggil artis atau pelukis. Hatta
sesuatu karya itu perlu disaring untuk
meletakkannya layak digelar sebagai hasil seni. Dalam pameran kali ini, pedekatan aksiologi
adalah yang paling mudah memahamkan perihal nilai seni mereka. Aksiology adalah perkataan Greek yang merupakan cabang
falsafah yang berhubungan dengan kefahaman terhadap nilai. Beberapa penulisan
berkenaan axiology (Calvinand Hodges (2009), Mahmoud Khatami (2010) dan Micheal
Viega (2016)) menjelaskan bahawa aksiologi adalah pendekatan di mana kita
menilai elemen keindahan malah moral atau etika yang terdapat dalam
bentuk-bentuk seni. Mengenal pasti dan
meghuraikan nilai kadangkala dikaitkan dengan konteks tertentu termasuk budaya,
pendekatan artist, matlamat dan juga fungsi karya itu sendiri.
Pameran ini melibatkan pelukis wanita
dari latar belakang pendidikan seni di peringkat sarjana dan doktor falsafah. Mereka juga merupakan pensyarah yang mengajar
beberapa kursus penting senilukis dan senireka dan giat menjalankan aktiviti
kesenian tempatan dan antarabangsa.
Siri Rama-Rama 1, Elliza Hashim, 2016 |
Siakap Senohong, Hidawati, 2016 |
Bentuk-bentuk pengkaryaan kesemua
pelukis adalah dikategorikan sebagai catan, menggunakan format ‘picture plane’
yang sama iaitu dua dimensi. Namun penggunaan bahan, gaya penyampaian, teknik
dan pedekatan adalah berbeza. Karya
campuran mendominasi bahan pelukis pada kali ini kecuali Eliza yang hanya
menumpukan bahan akrilik. Bahan tersebut dipersembahkan dalam gaya seni pop. Pada
tahun 1982, Redza Piyadasa menghasilkan Two Malay Woman dengan teknik seni pop
dan imej fotografi namun Eliza menghasilkan imej wanitanya dengan teknik
illustrasi. Teknik kolaj oleh Noriza
Arzain bukan sahaja berperanan sebagai bahan tetapi lebih kepada imej, fakta,
informasi yang membawa maksud dan makna yang lebih khusus. Contohnya cebisan surat khabar, majalah atau pembungkusan
adalah bahan yang dikumpul dari tempat yang dilawati dan artifak sebenar dalam
penceritaan perjalanannya. Hidawati
mempertahankan bahawa kaedah melukis bukanlah semata-mata dengan menggunakan
pensil atau berus namun telah mencadangkan penggunaan mesin jahit dan benang
sebagai alat dan bahan menghasilkan karya seni. Karya bertajuk Bunga dan Pepatung Biru lebih kepada gambaran landskap dan mempunyai kaitan dengan karya
sulaman berlanskap oleh Kalsom Muda dan diikuti oleh Rose Dahlina. Karya Siti Hajar
dengan gaya pop hanya melibatkan satu imej dalam setiap canvas. Kenderaan
menjadi subjek utama karya Siti Hajar dan disampaikan dengan gaya minimalis
pop. Latar belakangnya mendatar namun
imej kenderaan dibina dengan garisan ‘outline’ yang mengukuhkan bentuk 3 dimensi. Komposisi perletakan imejnya dipelbagaikan
dan keseluruhannya kelihatan seperti flash card yang merakam cerita yang
tersendiri. Ini mengimbau karya Ismail
Hashim yang telah dihasilkan pada 1979 yang bertajuk Bicycle. Bezanya Siti Hajar
menggunakan latar belakang pebagai warna dan teknik jahitan manakala Ismail Hashim
menggunakan latar sewarna dengan imej photografi. Zuriati Shaari menggunakan pendekatan semi
abstrak yang menggabungkan imej-imej organik. Namun begitu pembentukan komposisinya sangat berstruktur dan diatur dengan
seimbang dan harmoni. Pada dasarnya struktur
tersebut dibahagikan dalam pecahan melintang dan menegak. Selain itu posisi imejnya juga disusun dalam
pelbagai lapisan dan kedudukan warna latarnya juga mempunyai atmosfera yang
dramatik. Pendekatan ini mempunyai
persamaan dengan karya Ismail Zain bertajuk DOT: The Tribalisation of Tam binte
Che Lat (1983). Ismail Zain lebih menonjolkan imej tempatan seperti surat
khabar tempatan, figura tempatan dan interior tempatan manakala karya
Zuriati Shaari kelihatan lebih umum mungkin
kerana faktor urbanisasi dan latar kehidupan masa kini. Bentuk catan Nowani agak bebeza dengan yang
lainnya iaitu lebih bersifat susunan corak dari motif tempatan seperti Bunga
Kerongsang, Pucuk Rebung, Teluk Berantai
dan Bunga Sebakul. Kekuatan
penggunaan motif dalam karya Norwani adalah pada konsep makna dan falsafah
motif-motif tersebut.
Kesemua karya membawa makna dan mesej
tersendiri. Hal inilah yang membawa
nilai dan fungsi terhadap mengapa ianya dihasilkan dan apakah yang audien boleh
perolehi dari karya tersebut. Bagaimana pelukis bertindakbalas dengan kehidupan dan
persekitaranya adalah sangat personal namun sebagai manusia itulah juga moral
yang bermakna kepada setiap insan. Alam
dan persekitan dijadikan rujukan utama kerana mengakui hakikat hubungan manusia
dengan pencipta, manusia dengan alam dan manusia sesama manusia. Nilai hubungan dengan alam dan kasih sayang
sesama makhluk dipaparkan dalam karya Zuriati Shaari diharap dapat mengekalkan
keharmonian dalam kehidupan masyarakat hari ini. Hakikat kehidupan yang penuh warna warni
dalam karya Elliza perlu menjadi motivasi untuk terus berjaya walaupun
kehidupan ini sementara. Begitu juga
dengan Noriza Arzain yang begitu optimis menghadapi kehidupan yang semangkin
canggih walau di mana pun manusia itu berada. Walaupun Siti Hajar acapkali mengatakan bahawa kehidupan yang lepas
telah menjadi kenangan namun masih boleh dijadikan panduan dan diperbaiki dari semasa ke semasa. Konsep transit karyanya menunjukkan bahawa kita tidak perlu
berputus asa dan teruskan perjalanan dengan hati yang lebih tabah. Gaya bahasa karya seni Hidawati membuka
beberapa petunjuk bahawa alam perlu
dilihat sebagai metafora yang perlu difikirkan oleh setiap manusia. Begitu juga
makna-makna dalam simbol motif karya Norwani yang berteraskan seni Islam dan
falsafah kesenian Melayu tempatan.
Comments
Post a Comment